Monday, March 5, 2012

MASBUQ DAN MUAFIQ


APA ITU MASBUQ?
Masbuq: seorang ma’mum yang tidak sempat berjemaah semasa berdiri imamnya dan tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca Al-Fatihah bersama Imam. Ini disebabkan Imam telahpun rukuk atau hampir-hampir rukuk kemudian ma’mum tadi masuk ke saf sembahyang berjemaah.

APA ITU MUAFIQ?
Muafiq: Seorang ma’mum yang sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, di mana ia mempunyai masa yang cukup untuk membaca Al-Fatihah bersama Imam dengan bacaan yang sederhana.


BILA BERLAKU?
Ia boleh berlaku ke atas seseorang ma’mum kepada empat rakaat sama ada pada rakaat pertama, rakaat kedua, rakaat ketiga, dan seterusnya pada rakaat keempat


HUKUM ORANG MUAFIQ
Hukum bagi orang muafiq dimaaf kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya. Tidak termasuk rukun yang pendek. Contoh rukun panjang seperti rukuk dan sujud. Manakala rukun yang pendek seperti iktidal, duduk istirehat, duduk tasyahud awal dan duduk antara dua sujud

CONTOH DAN GAMBARAN MUAFIQ
Seorang ma’mum yang muafiq sedang solat berjemaah, sebelum imam berdiri tegak daripada sujud yang kedua, dia sudah rukuk.Maka ma’mum berkenaan mendapat rakaat itu kerana ketinggalan daripada imam belum masuk kepada rukun keempat.

Seorang ma’mum yang muafiq sedang berjemaah sebelum imam duduk tasyahud akhir ma’mum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu

Kedua-dua contoh menunjukkan bahawa ma’mum berkenaan masih lagi berada dalam jarak tiga rukun daripada imamnya,belum lagi masuk ke rukun keempat.Sebagaimana contoh-contoh itu bahawa rukun-rukun yang jarak antara ma’mum dengan imam ialah tiga rukun yang dikira daripada:
1.Rukuk
2.Sujud yang pertama
3.Sujud yang kedua

HUKUM ORANG MASBUQ
Ma’mum yang masbuq hukumnya dimaafkan meninggalkan bacaan fatihah, kerana fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja oleh ma’mum itu dikira semuanya ditanggung oleh imamnya.

Dari Sahal bin Saad r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda:

“Imam yang menanggung pembacaan, apabila baik bacaannya maka pahalanya untuk dirinya dan untuk mereka (ma’mum), dan jika rosak bacaannya maka dosanya di atas dirinya sendiri dan bukan atas mereka”.
(hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)

CONTOH DAN GAMBARAN MASBUQ
Ma’mum itu pada mulanya dia adalah muafiq, di dalam menunaikan peraturan-peraturan solatnya ia terlewat, belum sempat ia berdiri tiba-tiba imam telah rukuk atau hampir rukuk,hukum ma’mum itu ialah orang masbuq. Jika ia sempat qiam dan terus rukuk sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka ia
mendapat rakaat itu, dan diamaafkan dia meninggalkan bacaan fatihah.

CONTOH-CONTOH MASBUQ
Imam terlalu cepat membaca bacaan di dalam solat. Apabila ma’mum berdiri daripada sujudnya didapati imamnya sudah rukuk dan ia tidak sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah, maka hukumnya wajib ke atas
ma’mum itu rukuk bersama-sama imamnya kerana ia seperti orang masbuq dan dia mendapat rakaat itu.

Jika seorang makmum masbuq rukuk terkemudian daripada imam sebab ia membaca al fatihah hingga imamnya bangkit daripada rukuk, maka luputlah rakaat itu dan wajib ke atasnya tambah satu lagi rakaat
selepas salam imamnya.

MASBUQ JUMAAT
Solat jumaat diwajibkan dengan berjemaah. Oleh itu, tidak sah jumaat kecuali dengan berjemaah sekurang-kurangnya dengan 40 puluh orang yang berakal, cukup umur(baligh), merdeka dan bermastautin.

Bagi seorang ma’mum masbuq yang ingin mendapat jumaat, dia hendaklah sekurang-kurangnya sempat rukuk bersama imam pada rakaat yang kedua serta mempunyai tamakninah. Kemudian dia hendaklah menambah satu lagi rakaat selepas salam imam dan Jika ia tidak sempat mendapatkan rukuk bersama imam pada rakaat kedua itu, maka hendaklah ia menyempurnakan solat itu sebagai solat zohor iaitu dengan
menambahkan empat rakaat selepas salam imam. Bacaan fatihah serta ayat yang sunat selepasnya hendaklah dengan perlahan.


RUMUSAN MUWAFIQ DAN MASBUQ
Muwafiq ialah ma’mum yang sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah dengan bacaan sederhana ketika qiam imamnya sebelum rukuk imamnya.

Masbuq ialah ma’mum yang tidak sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah dengan bacaan sederhana
dalam qiam imamnya seperti ketika dia masuk berjemaah itu imamnya sedah hampir rukuk atau sedang rukuk.

No comments:

Post a Comment