KUALA KRAI - Jenazah Tokoh Seni Budaya Negeri Kelantan 2008, Pak Su Karim yang meninggal dunia petang kelmarin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Era, dekat sini, semalam.
Pak Su Karim atau nama sebenarnya Abdul Kassim Che Nek yang terkenal sebagai penggiat seni tersohor menghembus nafas terakhir pada usia 76 tahun di rumahnya di kampung itu kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.
Suasana pilu dan sedih menyelubungi tanah perkuburan sebaik sahaja jenazah Allahyarham diturunkan ke liang lahad kira-kira jam 11.15 pagi sebelum disusuli tahlil dipimpin Imam Mukim Pasir Era, Muhamad Mat Sulaiman.
Turut hadir, ahli keluarga Pak Su Karim serta beberapa rakan seperjuangan Allahyarham termasuk pendikir terkenal, Man Irama dan Setiausaha Persatuan Penggiat Seni Budaya, Warisan dan Pelancongan Kuala Krai (Pewaris), Maimun Awang.
Sementara itu, Man Irama berkata, pemergian Pak Su Karim merupakan satu kehilangan besar bagi dunia seni tradisional kerana pejuang seni seperti Allahyarham sukar ditandingi dalam apa jua cabang seni diceburinya apatah lagi untuk dicari ganti.
“Kampung Pasir Era boleh ‘lumpuh’ selepas kehilangan seorang pemimpin masyarakat yang berpengalaman dan berpengaruh seperti Pak Su Karim,” katanya yang mengikut Allahyarham untuk belajar seni budaya tradisional terutama main puteri sejak dari sekolah rendah.
Sepupu Pak Su Karim, Che Mud Said, 80, pula menyifatkan kehilangan Allahyarham, terutama bagi penduduk kampung itu seperti matinya sepohon bunut iaitu pokok besar dan rendang yang menjadi tempat orang berteduh.
Menurutnya, sepanjang mengenali Pak Su Karim sejak berusia 12 tahun, sepupunya itu seorang yang bersemangat kuat dan mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang seni budaya serta seorang yang ‘pandai tangan’.
“Arwah ‘pandai tangan’, sebab itu dia boleh buat macam-macam terutama berkaitan dengan perubatan tradisional dan memang ramai orang datang berjumpa dengan dia untuk berubat,” katanya.
Dalam pada itu, Che Mud berkata, dia sedih dan terkilan kerana hajat dipendam Allahyarham sejak sekian lama untuk menunaikan haji tidak kesampaian.
“Sejak tahun lalu lagi arwah berhasrat tunaikan haji, tapi namanya tidak tersenarai, tahun ini baru ada dan sepatutnya arwah ke Makkah hujung tahun ini tapi nampaknya tak kesampaian juga,” katanya.
(Petikan dari SH)
No comments:
Post a Comment