Sunday, May 15, 2011

Pak Su Karim selamat dikebumi

KUALA KRAI - Jenazah Tokoh Seni Budaya Negeri Kelantan 2008, Pak Su Karim yang meninggal dunia petang kelmarin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Era, dekat sini, semalam.

Pak Su Karim atau nama sebenarnya Abdul Kassim Che Nek yang terkenal sebagai penggiat seni tersohor menghembus nafas terakhir pada usia 76 tahun di rumahnya di kampung itu kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi tanah perkuburan sebaik sahaja jenazah Allahyarham diturunkan ke liang lahad kira-kira jam 11.15 pagi sebelum disusuli tahlil dipimpin Imam Mukim Pasir Era, Muhamad Mat Sulaiman.

Turut hadir, ahli keluarga Pak Su Karim serta beberapa rakan seperjuangan Allahyarham termasuk pendikir terkenal, Man Irama dan Setiausaha Persatuan Penggiat Seni Budaya, Warisan dan Pelancongan Kuala Krai (Pewaris), Maimun Awang.

Sementara itu, Man Irama berkata, pemergian Pak Su Karim merupakan satu kehilangan besar bagi dunia seni tradisional kerana pejuang seni seperti Allahyarham sukar ditandingi dalam apa jua cabang seni diceburinya apatah lagi untuk dicari ganti.

“Kampung Pasir Era boleh ‘lumpuh’ selepas kehilangan seorang pemimpin masyarakat yang berpengalaman dan berpengaruh seperti Pak Su Karim,” katanya yang mengikut Allahyarham untuk belajar seni budaya tradisional terutama main puteri sejak dari sekolah rendah.

Sepupu Pak Su Karim, Che Mud Said, 80, pula menyifatkan kehilangan Allahyarham, terutama bagi penduduk kampung itu seperti matinya sepohon bunut iaitu pokok besar dan rendang yang menjadi tempat orang berteduh.

Menurutnya, sepanjang mengenali Pak Su Karim sejak berusia 12 tahun, sepupunya itu seorang yang bersemangat kuat dan mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang seni budaya serta seorang yang ‘pandai tangan’.

“Arwah ‘pandai tangan’, sebab itu dia boleh buat macam-macam terutama berkaitan dengan perubatan tradisional dan memang ramai orang datang berjumpa dengan dia untuk berubat,” katanya.

Dalam pada itu, Che Mud berkata, dia sedih dan terkilan kerana hajat dipendam Allahyarham sejak sekian lama untuk menunaikan haji tidak kesampaian.

“Sejak tahun lalu lagi arwah berhasrat tunaikan haji, tapi namanya tidak tersenarai, tahun ini baru ada dan sepatutnya arwah ke Makkah hujung tahun ini tapi nampaknya tak kesampaian juga,” katanya.

(Petikan dari SH)

Syeikh Ahmad al-Fathani


Wan Ahmad bin Muhammad Zain

(1856-1908)

Wan Ahmad bin Muhammad Zain atau lebih dikenali sebagai Syeikh Wan Ahmad Patani merupakan salah seorang tokoh Ulama’ yang sangat terkemuka di nusantara. Terdapat juga golongan yang menggelarkan beliau dengan sebagai ‘Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu’ kerana usaha beliau mengbangkitkan semangat golongan Ulama’ untuk menentang penjajahan Barat di Tanah Melayu.

Wan Ahmad bin Muhammad Zain atau nama penuhnya Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara.

Kedudukan nusantara diantara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan kawasan nusantara menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Mereka yang bertaraf ulamak biasanya pernah melanjutkan penggajian ke Semenanjung Arab seperti di Mekah, atau Universiti Al-Azhar. Di sana mereka juga terdedah kepada kebudayaan Parsi, Rom dan Turki sebagaimana yang dapat dikesan dalam sastera golongan istana seperti Hikayat Amir Hamzah,dan juga oleh kebudayaan China seperti mana yang terdapat dalam Hikayat Hnag Tuah, dan Syair Siti Zubaidah.

Pengetahuan ugama dan politik dunia ini menjadikan mereka seseorang yang berpengaruh sekembalinya mereka ke nusantara ketika itu.

Dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada 10 April 1856 dengan nama Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin, Syeikh Ahmad al-Fathani disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek merangkumi dunia dan akhirat. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, budaya dan pentadbiran.

Wan Ahmad al-Fathani mempunyai sejarah berliku dan mencabar dalam usahanya untuk belajar dan menyebarkan ilmunya. Pada peringkat awal, beliau dibimbing oleh bapanya sendiri. Wan Muhammad Zain al-Fatani dan kemudian, berguru dengan bapa saudaranya, Syeikh Wan Abdul Kadir Wan Mustafa.

Pada usia empat tahun, berhijrah ke Makkah kerana mengikuti ibu bapanya ke sana untuk mencari ilmu agama. Justeru, beliau dibesarkan dalam budaya menuntut ilmu.

Di Makkah, beliau berkesempatan bergaul dengan ramai alim ulama. Kecerdasan otaknya terserlah pada usia yang muda iaitu 12 tahun. Dari Makkah, beliau ke Baitulmaqdis untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran dan seterusnya ke Mesir.

Ketika di Baitulmaqdis dan Mesir, beliau mula mengarang kitab. Pada usia belum mencecah 30 tahun, ilmu pengetahuannya begitu tinggi hingga tiada guru yang sanggup mengambilnya sebagai anak murid. Kepakarannya dalam bahasa Arab menarik minat Raja Makkah ketika lalu beliau dilantik sebagai ahli bahasa kerajaan.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan anak saudara Syeikh Nik Mat Kecik iaitu Siti Saudah Wan Abdullah dan dikurniakan tiga anak, Wan Ismail Qadhi, Wan Fatimah dan Wan Zainab.

Wan Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada malam Rabu, 11 Zulhijah 1325 bersamaan 14 Januari 1908. Tahun ini genap 100 tahun, beliau meninggal dunia mengikut takwim Islam.

Pengkaji sejarah ulama Nusantara, Wan Mohd Shaghir Abdullah, berkata

Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai pengaruh besar dalam penggalian dan penyebaran pelbagai disiplin ilmu di Nusantara, khususnya ‘Alam Melayu’.

Katanya, hal itu tidak menghairankan kerana beliau suatu ketika dulu pernah berada pada tahap nombor dua penting di Makkah selepas ulama Arab.

“Mereka paling ramai mengajar di Masjidil Haram dan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak terkecuali daripada senarai itu.

“Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai kehebatan tersendiri. Contohnya, beliau pernah dipilih oleh ulama Makkah untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian khilafiah antara Syeikh Muhamad Abduh dengan Syeikh Yusuf Nabhani di Beirut,” kata.

Syeikh Ahmad al-Fathani hidup dalam masa peralihan antara zaman klasik dengan moden.

Beliau mengajar belajar dan bergaul dengan ulama tradisional dan sempat pula hidup dalam awal dunia moden, bergaul dan berdialog atau bertukar-tukar fikiran dengan tokoh reformasi/tajdid dunia Islam seperti Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Muhammad Rashid Ridha .

Wan Mohd Shaghir, cucu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, yang juga tokoh ilmuwan dalam dunia manuksrip klasik Melayu, berkata datuknya menguasai 47 bidang ilmu pengetahuan.

Katanya, antaranya adalah pemikiran dan penulisan mengenai Islam serta Melayu; penerbitan kitab dan percetakan serta politik dan pentadbiran.

Selain itu, katanya, beliau terbabit dalam pemikiran ekonomi, sains, teknologi, pendidikan, perubatan, kemasyarakatan, sejarah, geografi, sosiologi, ilmu khat, ilustrasi dan pertanian.

“Perjuangan dan keilmuan serta pemikiran datuknya bersifat kepentingan umat Islam sejagat, terutama dunia Melayu,” katanya dalam pertemuan di pejabat Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara, Taman Melewar, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Wan Mohd Shaghir menghabiskan keseluruhan usia hidupnya untuk mencari dan membongkar teks klasik tulisan ulama alam Melayu. Usahanya membongkar, memelihara dan menyimpan, malah menulis semula pemikiran dalam kitab itu bagi manfaat generasi hari ini.

Wan Mohd Shaghir berkata, ulama besar ini mempunyai tujuh jenis ilmu antara yang menakjubkan adalah ilmu membedah tubuh manusia (perubatan), menghasilkan emas 24 karat menggunakan bahan campuran yang bukan daripada emas (kimia) dan memperkenalkan tempat menyemai tanaman (pertanian).

Syeikh Ahmad al-Fathani juga seorang ahli fikir yang hebat dari segi politik, pemerintahan dan pentadbiran negara. Pemikirannya dalam bidang ini terserlah melalui harapan dan wasiat yang ditulisnya untuk raja Melayu kerajaan Patani, Kelantan, Terengganu, Johor dan Deli.

Antara kandungannya adalah meminta raja mengukuhkan perbendaharaan ilmu, pertandingan kepandaian dan membuka mata masyarakat untuk memandang kepada kebijaksanaan.

Tujuannya supaya bangsa Melayu menjadi bangsa paling megah dalam dunia. Begitu juga paling tinggi nama antara semua anak Adam. Ia juga untuk menjadikan ulama Melayu mampu mengatasi ulama bangsa lain di dunia serta Islam menjadi agama yang semakin nyata dan mampu mengalahkan semua agama lain.

Pengaruh Syeikh Ahmad Al-Fathani keatas kebangkitan golongan Ulama’ Melayu menentang penjajah dan perjuangan mencapai kemerdekaan Malaysia.

Syeikh Ahmad Al-Fathani berperanan mengalih kiblat pendididkan golongan Melayu dari Mekah ke Mesir.Beliau sendiri adalah lepasan graduan Universiti Al-Azhar.Murid-murid beliau yang cemerlang di Mekah akan dihantar ke Mesir diantara murid beliau ialah Syeikh Abdul Ghani Acheh, Syeikh Ismail Mutalib Acheb,Syeikh Tahir Jalaluddin Minangkabau,Nik Mahmud Kelantan,Dato’ Laksamana Kelantan,Syeikh Muhammad Nur Fathani,Mohamad Zain Ahmad Kelantan,Syeikh Ahmad Lampung,Haji Omar Jawa.Wan Ahmad Kemboja dan ramai lagi sehingga tak termampu dituliskan. Mereka semua dihantar ke Mesir untuk diperkenalkan kepada tokoh reformis Islam yang termasyur iaitu Syeikh Muhammad Abduh anak murid kepada bapa revolusi Islam Sayyid Jamaluddin Al-Afghani. Syeikh Muhammad Rashid Ridha anak murid kepada Syeikh Muhammad Abduh juga antara yang berperanan menyebarkan pengaruh Pan Islamic kepada Ulama’-ulama’ Melayu. Dengan perkembangan itu maka lahirlah satu pergerakan yang dinamakan gerakan Kaum Muda.Pengaruh Pan Islamic semakin berkembang di Tanah Melayu dan melahirkan golongan Ulama’-ulama’ yang menentang penjajah seperti Dr.Burhanuddin al-Helmy,Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong,Tokku Paloh ,Datuk Bahaman,Mat Kilau,Haji Mat Hassan Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut danTok Kenali ,maaf jika saya tidak dapat menyatakan sepenuhnya kerana terlalu ramai penglibatan golongan Ulama’ dalam perjuangan menentang penjajah cukuplah sekadar nama-nama yang biasa anda dengar namun hakikatnya terlalu ramai penglibatan golongan Ulama’ Melayu dalam perjuangan menentang penjajah dan sekaligus mermartabatkan daulah Islah di Tanah Melayu. Dari gerakan ini muncullah pertubuhan-pertubuhan Islah seperti Kesatuan Melayu Muda(KMM1937 ,Majlis) Tertinggi Agama(MATA) 24 Mac 1948 dan Hizbul Muslimin 1948.Lanjutan dari tertubuhnya pertubuhan-pertubuhan itu maka tertubuhlah Persatuan Ulama Se-malaysia yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia(PAS) pada di Madrasah al-Masriyah,Gunung Semanggol yang menjadi Pejabat Agung Pas ketika itu PAS pada ketika itu sangat terpengaruh dengan perjuangan sebuah pergerakan Islam di Mesir yang dikenali sebagai Ikhwan Al-Muslimin yang diasaskan oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pada tahun 1928.Al-Banna menubuhkan Ikhwan Muslimin susulan gerakan Pan Islamic yang dipacu oleh Sayyid Jamaluddin Al-Afghani,Syeikh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Ridha. Ikhwan Muslimin adalah sebuah pertubuhan yang menggabungkan Siasah(Politik) dan Tarbiyah(Dakwah) secara seiring maka lahirlah Politik yang berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah.Pas sehingga kini masih berjuang dalam era politik tanah air dan masih berjuang mermartabatkan daulah islamiyah.Namun perjuangan mereka kini bukan untuk menentang penjajahan, tapi mereka berhadapan pemimpin negara yang berfahaman sekular dan penuh dengan korupsi.Walaupun pemimpinnya bertukar ganti namun PAS tetap teguh dengan prinsip untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah bagi meneruskan dakwah serta seruan Nabi Muhammad S.A.W yakni ‘Amar Maaruf dan Nahi Munkar’.

10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna




10 WASIAT IMAM HASSAN AL-BANNA

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.
2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Kelebihan Solat Dhuha

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”

(Riwayat Ahmad)

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”


Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)


Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”

(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)


Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.


Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam.
Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)


Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

3 MAUT BALIK KENDURI KAHWIN

GUA MUSANG: “Saya tidak sangka, dia (Allahyarham Hasmah Idrus, 28) bersama adiknya, sanggup menunggu kepulangan kami dua beranak daripada melawat sepupunya yang sakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, semata-mata untuk memohon maaf.

“Cuma ketika itu, tingkah laku dua beradik yang periang itu bertukar menjadi pendiam ketika bersalaman dan tidak sangka ia pertemuan terakhir,” kata Robiah Mat Daud, 50, ibu kepada Hasmah Idrus dan adiknya Siti Aminah, 22, yang maut dalam kemalangan jalan raya, awal pagi semalam.


Perjalanan Hasmah yang juga pegawai bank RHB Kuala Lumpur bersama adik dan sepupunya selepas selesai menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah keluarga mereka bertukar tragedi memilukan apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini.

Kemalangan kira-kira jam 12.45 tengah malam itu membabitkan sebuah Perodua Kelisa dinaiki empat sepupu terbabit dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda menyebabkan dua daripada sepupu itu meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi di Hospital Kuala Krai (HKK).


Hasmah dan seorang lagi sepupunya, Shaibah Che Danial, 24, meninggal dunia di tempat kejadian dan adiknya, Siti Aminah disahkan meninggal di HKK.


Adik Shaibah, Syaikhah, 23, yang cedera parah kemudian dihantar ke HKK untuk rawatan lanjut dan dua lagi yang turut cedera termasuk pemandu kenderaan pacuan empat roda bersama seorang penumpangnya berusia dalam 40-an, dirawat di hospital sama.

Kejadian itu berlaku ketika kereta dinaiki empat sepupu itu dalam perjalanan dari Kampung Pasir Era, Kuala Krai ke Kuala Lumpur sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki pasangan suami isteri dari arah bertentangan.


Dua mangsa tercampak keluar dari kereta Perodua Kelisa yang berpusing di tengah jalan ketika kemalangan berlaku, manakala Hasmah yang juga pemandu kereta berkenaan tersepit di tempat duduk dan terpaksa mendapat bantuan anggota bomba untuk mengeluarkan mayatnya.







Robiah berkata, empat sepupu itu pulang ke kampung berkenaan enam hari lalu untuk menghadiri majlis kenduri menyambut menantu abang sulung Hasmah, Abdul Wahid, 30, pada Sabtu lalu di Kampung Pasir Era, Kuala Krai.


Katanya, semua sepupu terbabit bertolak lewat kira-kira jam 10 malam kelmarin untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana menunggu kepulangannya daripada melawat seorang anak saudara yang sakit di HUSM, Kubang Kerian bersama Abdul Wahid.


“Sebaik kami tiba di rumah, arwah terus bersalam dengan memohon maaf untuk pulang ke Kuala Lumpur dan tidak sangka kesungguhannya bersalaman menjadi detik terakhir saya bersama dua beradik berkenaan,” katanya.

(petikan dari Harian Metro)